Monday, December 24, 2018

Revision Guide AK10303

1) Kedudukan media dalam sistem demokrasi? Contoh?
2) Evolusi media dari Estet Ke-4 ke Estet Ke-5. Contoh?
3) Media itu apa? Contoh?
4) Benarkah media mengubah budaya/masyarakat? Adakah budaya/masyarakat membentuk media? contoh?
5) Media sebagai kuasa imperialis yang lebih hebat. Definisi dan contoh?
6) Apa boleh jadi jika pengusaha media bergabung? Contoh?

18 comments:

  1. Kedudukan Media dalam sistem demokrasi
    Nursiah Robert
    YA2015-1011

    Di Malaysia, demokrasi kewartawanan dan etika media massa masih menjadi perdebatan umum walaupun kebebasan media telah diberikan ruang dalam proses partisipasi demokrasi apabila akta-akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 akan dimansuhkan kelak. Tetapi pandangan ahli akademik komunikasi di Malaysia bahawa kawalan yang ketat terhadap penyebaran maklumat yang meluas adalah wajar sebagai asas bagi tindakan politik dan kestabilan serta perkembangan negara adalah lebih diutamakan dan perkara yang berkaitan dengan individu dianggap tidak penting juga tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja. Dan pada masa yang sama fungsi media baru yang semakin popular dan mengatasi peranan media konvensional ini juga perlu dianalisis secara kritikal. Persoalannya apakah benar media baru ini merupakan simbol demokrasi dan kebebasan informasi sesebuah negara sedangkan pada masa yang sama media baru turut menjadi dalang kepada beberapa krisis nasional di negara ini? Kertas kerja ini akan cuba menganalisis dakwaan dan andaian bahawa pendemokrasian undang-undang media yang berpaksikan kepada media baru ini hanyalah suatu bayangan palsu yang tidak akan dapat dicapai dalam zaman apa jua sekalipun.


    ReplyDelete
    Replies
    1. NURSIAH ROBERT
      YA2015-1011

      Kehadiran media sosial membawa impak yang sangat luar biasa dalam pola kehidupan masyarakat di pelbagai peringkat umur, pekerjaan dan kehidupan. Media sosial lebih tepat diklasifikasikan sebagai wadah bagi setiap individu untuk mengekspresikan kehidupan mereka, membentuk ikatan sosial, memahami setiap peristiwa terutamanya polimik politik semasa. Kini media sosial dilihat menjadi salah satu medium utama dalam mendepani isu berkaitan dengan konsep demokrasi maklumat dalam membincangkan isu keadilan politik.

      Andreas Kaplan dan Micheal Haenlein menyatakan bahawa media sosial sebagai sebuah program kelompok aplikasi berasaskan internet yang membangun di atas dasar ideologi dan teknologi web 2.0 yang memungkinkan penciptaan dan pertukaran idea. Media sosial adalah sebuah media online dan jaringan sosial merupakan satu laman di mana setiap orang boleh membuat laman web secara peribadi, kemudian berhubung dengan rakan-rakan untuk berkongsi maklumat dan berkomunikasi. Media sosial dijadikan satu medan manusia berhubung dan berhibur dengan memberi sumbangan dan maklum balas secara terbuka, memberi komen, serta berkongsi maklumat dalam masa yang cepat dan tidak terhad.

      Oleh demikian, wadah ini digunakan bagi setiap individu untuk mengekspresikan kehidupan, dimana setiap pengalaman hidupnya dapat diluahkan seperti suka dan duka yang dialami. Media sosial dilihat berfungsi sebagai wadah bagi masyarakat untuk mewujudkan kekuatan sosial, melakukan pergerakan sosial malah membawa persoalan ke media tersebut dalam menangani setiap peristiwa yang sedang terjadi dan menjadi isu rakyat dan para netizen dalam mengutarakan pendapat. Media sosial merupakan saluran yang membantu rakyat untuk memahami proses komunikasi, sama ada komunikasi antara individu mahupun komunikasi yang melibatkan antara manusia dengan teknologi.

      Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya peranan media sosial dalam melihat sejauhmana sumbangannya dalam sistem demokrasi di Malaysia. Oleh itu, suatu kajian dijalankan untuk melihat sejauh manakah isu berkaitan sumbangan media sosial dan amalan sistem demokrasi di Malaysia.

      Istilah demokrasi dilihat dari sudut bahasa dan istilah, di mana secara bahasa demokrasi berasal dari perkataan Yunani iaitu “demos” bermaksud rakyat atau penduduk setempat dan “cratein” atau “cratos” dengan maksud kekuasaan atau kedaulatan. Oleh yang demikian, “demos-cratein” atau “demoscrators” adalah keadaan negara di mana sistem pemerintahannya berada di tangan rakyat, kekuasaan tertinggi berada dalam keputusan bersama rakyat iaitu rakyat berkuasa, pemerintahan rakyat dan kekuasaan oleh rakyat (Budiarto, 2005).

      Delete
    2. Sesebuah negara untuk digelar sebagai negara demokrasi harus menonjolkan tujuh ciri-ciri utama; pertama, wujudnya kebebasan bersuara, media massa yang bebas dan berkecuali, pilihan raya diadakan secara konsisten, bebas dan adil, ada kebebasan berorganisasi dan berpersatuan, pemerintahan berasaskan majoriti, hak golongan minoriti dihormati dan akhir sekali wujud badan kehakiman yang senantiasa bebas dan berkecuali (Zaini, 2006). Menurut Mujibu et al (2009), dalam kes Malaysia, kita bolehlah menganggap bahawa ia adalah sebuah negara demokrasi kerana kesemua elemen yang dinyatakan itu wujud secara teori dan falsafahnya. Dari segi amalannya demokrasi di Malaysia hanya bersifat penyamaran sahaja “camouflage”. Asasnya kerana, praktik demokrasi di Malaysia berlainan daripada teorinya yang asal. Justeru itu tidak hairan beberapa sarjana telah mengelar amalan demokrasi di Malaysia dengan beberapa gelaran antaranya demokrasi tanpa consensus (Von Vorys, 1975), demokrasi palsu dan separuh (Case, 1993), demokrasi statis (Jesudason, 1995) dan demokrasi terhad (Crouch, 1996).

      Oleh itu, demokrasi membawa maksud sebagai dasar hidup bermasyarakat dan bernegara dengan pengertian bahwa rakyatlah yang memberikan ketentuan terhadap setiap isu, perubahan dan pemilihan dalam sesebuah negara.

      Malaysia melalui proses perkembangan media sebelum era kemerdekaan sehingga kini di mana setiap era menjelaskan peranan yang berbeza-beza. Di era sebelum kemerdekaan semangat nasionalisme yang didorong oleh media massa memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat penduduk di Tanah Melayu untuk bangkit menentang penjajah. Perkembangan media massa di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan dapat dilihat melalui perkembangan dalam bidang penulisan akhbar dan majalah yang digunakan rakyat sebagai medium untuk membuka minda masyarakat mengenai perjuangan menuntut kemerdekaan. Peranan media yang mula berkembang sekitar awal abad ke-20 ini memberi impak yang amat besar dalam memberi kesedaran sosial dan politik kepada masyarakat melayu.

      Di Malaysia, sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga ke hari ini, tampuk pemerintahan negara masih kekal berada di tangan kerajaan. Salah satu faktor penyumbang pengekalan pemerintahan ini adalah melalui kawalan terhadap media massa. Media arus perdana sama ada elektronik dan cetak dikuasai oleh pihak kerajaan. Selain menguasai agensi penyiaran rasmi pemerintah, kerajaan juga turut menguasai akhbar, stesen radio dan stesen televisyen sama ada menerusi pemilikan saham ataupun menggunakan posisinya sebagai pemerintah yang mengeluarkan lesen. Pihak pembangkang pula dibenarkan menerbitkan akhbar namun, edaran dan terbitannya adalah terhad (Badrul Azmier, 2008). Melalui media perdana ini, kerajaan berusaha jumudkan pemikiran rakyat dengan menunjukkan bahawa kerajaan adalah yang terbaik dan penyayang. Parti lain pula diperlihatkan sebagai perosak, pengkhianat dan sebagainya (Nur Azween & Nidzam, 2008).

      Delete
    3. Media sosial berperanan sebagai ‘alat kuasa’ yang paling berpengaruh dalam sistem demokrasi kerana media sosial menyediakan ruang umum (public sphere) bagi rakyat untuk menzahirkan penyertaan politik mereka secara bebas dan tanpa sebarang tekanan. Istilah ruang umum atau dalam bahasa Jerman disebut Offentlichkeit merujuk kepada ruang atau kawasan khas dalam masyarakat di mana setiap individu boleh bebas berinteraksi dan seterusnya mempengaruhi sesuatu tindakan politik. Idea ini dipelopori oleh sarjana Barat yang juga berasal dari Jerman iaitu Jurgen Habermas menerusi artikelnya yang bertajuk ‘The Structural Transformation of the Public Sphere: An Inquiry into a Category of Bourgeois Society’ (1989) terbitan The MIT Press, yang kemudiannya turut dibincangkan oleh para sarjana lain seperti Gerard A. Hauser (1999), Nancy Fraser (1990), Craig Calhoun (1992), Robert Asen (1999), dan ramai lagi.

      Secara idealnya, idea ruang umum ini adalah sangat sesuai dengan praktik sistem demokrasi yang diamalkan oleh kebanyakan negara di seluruh dunia pada hari ini khasnya dalam konteks hak dan kebebasan bersuara. Hal ini kerana, media sosial merupakan medium alternatif bagi rakyat di Malaysia untuk memperoleh maklumat berkaitan isu dan hal-hal berkaitan sosio-politik negara. Hal ini amatlah penting kerana dengan wujudnya media sosial rakyat dapat mempelbagaikan sumber berita dan tidak hanya bergantung kepada media massa utama di Malaysia. Media massa di Malaysia kini dikawal sepenuhnya oleh pihak kerajaan yang memerintah. Oleh demikian, berita yang disampaikan oleh media massa berkemungkinan telah dimanipulasi untuk memberi berita yang berpihak kepada mereka.Pihak media massa lebih banyak mengutarakan isu-isu yang menyokong parti pemerintah. Kesan daripada tindakan media massa yang dikawal kerajaan ini adalah rakyat akan memberi sokongan politik kepada parti pemerintah, membantu calon-calon pilihan raya, dan memberi sokongan kepada rakyat dalam memilih calon yang sesuai.

      Dengan kewujudan media sosial kini, ianya boleh memberi sumbangan kepada pengguna terutamanya kepada marhaen yang dahagakan berita yang lebih ‘transparency’ dan tidak bias kepada sebahagian pihak sahaja. Rakyat mampu menilai berita yang diterima dengan membuat perbandingan berasaskan pemikiran logik mereka.

      Walaubagaimanapun, usaha juga perlu dilakukan oleh kerajaan bertujuan mendidik pengguna dan pengendali aplikasi media sosial supaya mereka menjadi lebih bertanggungjawab dan beretika ketika menggunakan aplikasi tersebut. Tanpa tanggungjawab dan etika ini, media sosial boleh disalahguna secara negatif sebagai alat kuasa yang boleh menjejaskan ketidakstabilan negara.

      Tuntasnya, walaupun isu kebebasan media sosial ini secara umumnya selari dengan prinsip demokrasi, aktiviti dan penggunaan media sosial tanpa sebarang kawalan boleh memberikan impak negatif untuk jangka masa panjang kepada negara dan masyarakat. Pun begitu, kerajaan akan sentiasa memantau aktiviti ini dari semasa ke semasa bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara negatif yang wujud hasil daripada penggunaan media sosial yang tidak terkawal ini (Utusan Malaysia, 2015).

      Kesimpulannya, peranan media sosial boleh membawa kesan dan perubahan ke atas sesebuah pentadbiran politik. Sekiranya seseorang pemimpin atau pentadbiran politik itu bijak dalam menggunakan media sosial dalam melebarkan empayar pengaruhnya menerusi kaedah yang baik, maka ia akan membantu pemimpin dan pentadbiran tersebut. Walaubagaimanapun, jika sesebuah pentadbiran yang memperalatkan rakyat untuk kepentingan politik semata-mata, maka kebarangkalian tinggi media sosial bakal digunakan oleh rakyat negara tersebut untuk menghancurkan kerajaan pemerintah.




      Delete

  2. Media sebagai kuasa imperialis yang lebih hebat. Definisi dan contoh?

    Media sosial adalah satu bentuk komunikasi penting dalam dunia era global pada masa kini. Sebagai sebuah aplikasi berasaskan Internet, media sosial membolehkan penggunanya untuk memberi sumbangan dan maklum balas secara terbuka serta berkongsi maklumat dalam masa yang cepat dan tidak terhad. Blog, rangkaian sosial (seperti Facebook, Twitter), Wiki, forum dan dunia virtual adalah antara contoh medium penting yang terdapat dalam aplikasi media sosial.

    Dalam konteks politik, media sosial berperanan sebagai ‘alat kuasa’ yang paling berpengaruh. Ia menyediakan ruang umum (public sphere) bagi rakyat untuk menzahirkan penyertaan politik mereka secara bebas dan tanpa sebarang tekanan. Istilah ruang umum atau dalam bahasa Jerman disebut Offentlichkeit merujuk kepada ruang atau kawasan khas dalam masyarakat di mana setiap individu boleh bebas berinteraksi dan seterusnya mempengaruhi sesuatu tindakan politik.

    ReplyDelete
  3. Kritikan dan tohmahan sering-kali dilontarkan kepada kerajaan apabila terdapat usaha untuk mengehadkan aktiviti media sosial di sesebuah negara. China, sebagai contoh, masih mengekalkan beberapa halangan mengenai aktiviti media sosial di negara tersebut, begitu juga dengan beberapa buah negara monarki di Asia Barat.

    ReplyDelete
  4. kerajaan akan sentiasa memantau aktiviti ini dari semasa ke semasa bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara negatif yang wujud hasil daripada penggunaan media sosial yang tidak terkawal ini.

    Sementara aktiviti media sosial di Malaysia masih lagi bebas, usaha juga perlu dilakukan oleh kerajaan bertujuan mendidik pengguna dan pengendali aplikasi media sosial supaya mereka menjadi lebih bertanggungjawab dan beretika ketika menggunakan aplikasi tersebut. Tanpa tanggungjawab dan etika ini, media sosial boleh disalahguna secara negatif sebagai alat kuasa yang boleh menjejaskan ketidakstabilan negara.

    ReplyDelete
  5. Estet ke-5 merupakan kesinambungan kepada estet ke-4 yang telah diperkembangkan dan diperbaharui. Media dalam estet ke-4 ada lebih bersifat tradisional yang lebih kepada penggunaan media cetak yang bersifat nyata dan boleh disentuh seperti surat khabar. Namun, apabila beralih kepada estet ke-5, ianya mula berubah kepada media dalam talian iaitu secara online tanpa menggunakan kertas. Contoh yang amat jelas ialah Whatsapp dan facebook. Kemunculan estet kelima ini telah melumpuhkan media arus perdana. Pengguna pada estet kelima lebih mempercayai berita daripada media sosial berbanding dengan sumber berita sebenar.

    ReplyDelete
  6. Media itu apa?

    Media merupakan segala bentuk ataupun saluran yang digunakan untuk menghantar dan menyampaikan informasi mahupun pesanan. Berasal daripada perkataan latin, media merupakan jamak kata bagi medium, iaitu bermaksud penghantar atau pengantara di antara sumber (source) dan juga penerima (receiver). Maka, menurut Asociation Of Education Communication Technology (AECT), media adalah apa juga bentuk saluran yang digunakan untuk menyalurkan apa juga bentuk pesanan secara digital. Malah, media juga adalah ditakrifkan sebagai sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesan yang dapat merangsang pikiran, perasaan, perhatian, dan kemahuan seseorang sama ada untuk mendapatkan pengetahuan, maklumat, hiburan, data dan sebagainya.

    Media massa merupakan alat perantara yang paling mudah dan menjimatkan kos untuk pengamal perhubungan awam berkomunikasi dengan khalayak yang besar serta bertaburan di serata dunia. Seiring dengan perkembangan teknologi dan globalisasi telah memberikan cabaran yang sangat hebat kepada pengamal perhubungan dalam berurusan dengan petugas media (Cutlip, Center dan Broom 2000). Manakalaka Public Relations Society of America (PRSA) telah mengenal pasti 15 komponen asas perhubungan awam dan salah satunya adalah perhubungan media (dalam Wilcox, Cameron, Ault dan Agee 2003). Baran (2002) pula menggariskan salah satu daripada 14 perkhidmatan perhubungan awam yang ditawarkan oleh firma perhubungan awam di Amerika Syarikat kepada pelanggan mereka adalah melalui perhubungan media.

    Meletakkan media sebagai salah satu daripada komponen perhubungan awam jelas menunjukkan perhubungan media begitu penting kepada organisasi yang mempunyai unit dan pengamal perhubungan awam. Menurut Syed Arabi (2004) di sektor swasta Malaysia teras kepada aktiviti perhubungan awam adalah perhubungan media. Kepentingan perhubungan media dalam sektor awam di negara ini pula disokong oleh kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan (1982, No. 7) yang berfungsi untuk menyenaraikan tugas dan tanggungjawab perhubungan awam termasuk mengadakan siaran media.

    ReplyDelete
  7. Maka, media secara umumnya dapat dipecahkan kepada beberapa kategori. Antaranya adalah media visual. Media visual adalah media yang boleh dilihat, dibaca dan disentuh menggunakan pancaindera manusia. Oleh itu, media hanya akan berfungsi sepenuhnya melalui peranan deria dan pancaindera manusia. Tambahan pula, media tersebut sering ada disekitar kita dan mudah untuk didapatkan. Contohnya ialah media yang berbentuk foto, gambar, komik, poster, majalah, buku, miniatur, alat peraga, pamplet dan sebagainya.

    Manakala media audio visual pula adalah media yang boleh didengar dan dilihat dalam satu masa. Media ini adalah menggunakan pancaindera pendengaran dan penglihatan secara serentak. Contohnya adalah seperti media drama, pementasan, filem, televisyen dan media yang memerlukan graphic storage VCD. Internet juga termasuk dalam bentuk media audio visual, tetapi ianya tersedia dengan lebih lengkap dan menyatukan semua jenis format media. Selain itu, internet juga disebut multimedia karena berbagai format ada dalam internet. Manakala media audio pula adalah media yang hanya didengar sahaja dengan menggunakan telinga sebagai saluran utamanya. Contohnya contohnya adalah seperti suara, musik dan lagu, alat musik, siaran radio, kaset suara atau CD dan sebagainya.

    Lantaran itu, dari segi amalan perhubungan media secara lazimnya setiap hari editor dan penerbit di media massa akan menerima limpahan bahan perhubungan media daripada organisasi termasuk organisasi kerajaan, swasta, perunding dan badan-badan bukan kerajaan. Limpahan bahan informasi tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa memandangkan berlakunya pertambahan organisasi di negara ini yang sangat memerlukan publisiti dalam bentuk media massa. Grossman berpendapat bahawa tidak ada alat lain dalam perhubungan awam yang boleh menggantikan tempat kenyataan media dalam membuat pengumuman berita tentang produk, polisi dan amalan sesebuah organisasi (Seitel 2007).

    Bagi pihak media massa, tanggungjawab dalam menerima bahan-bahan perhubungan media ini merupakan antara aktiviti penting yang diberikan kepada organisasi di negara ini. Pihak media menggunakan kebanyakan bahan-bahan ini sama ada sebagai berita atau bahan tugasan untuk liputan harian mereka. Sementara, penggunaan bahan-bahan tersebut memberi manfaat kepada organisasi pengirim dalam bentuk publisiti media. Media massa di negara ini menerima bahan perhubungan media daripada pelbagai organisasi seperti Kerajaan Persekutuan, badan berkanun, kerajaan negeri, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan. Bahan perhubungan media seperti yang diakui oleh Grossman (Dalam Seitel 2007), Hendrix (2001) dan Mohd Hamdan (1993) merupakan satu kaedah yang popular yang diusahakan oleh pengamal perhubungan awam untuk tujuan publisiti dan komunikasi pemasaran.

    Kesimpulannya, media adalah apa-apa sahaja alat yang boleh digunakan sebagai saluran mesej untuk menghantar dan mencapai maklumat bagi memenuhi matlamat pengirimnya. Oleh kerana itu juga media dicirikan sebagai teknologi berbentuk mesej/pesanan yang dapat digunakan untuk apa jua bentuk tujuan. Oleh itu, media bukan sahaja memberi kepentingan kepada individu ataupun masyarakat sebagai medium perhubungan pada masa kini, namun ianya juga sangat berperanan dalam pentadbiran kerajaan bagi menyampaikan maklumat, berita dan apa jua bentuk pengetahuan yang berguna kepada rakyatnya.

    ReplyDelete
  8. Benarkah media mengubah budaya/masyarakat? Adakah budaya/masyarakat yang membentuk media? Contoh?

    Media mempunyai peranan yang sangat penting dalam era globalisasi kini. Era globalisasi memiliki pengaruh yang kuat di setiap dimensi kehidupan masyarakat. Maka, media merupakan salah satu bentuk kemajuan teknologi informasi dan komunikasi. Peranan komunikasi sangat penting untuk menentukan penyampaian informasi. Sejajar dengan kemajuan teknologi komunikasi yang kian pesat, maka kaedah komunikasi juga turut mengalami kepesatan perkembangannya.

    Oleh itu, media merupakan saluran yang digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Terdapat dua jenis media massa iaitu media elektronik dan media cetak. Media elektronik merangkumi televisyen, radio dan internet manakala media cetak pula merangkumi akhbar, majalah, buku dan sebagainya. Kini, media elektronik seperti internet merupakan saluran yang paling banyak digunakan oleh masyarakat untuk menyampaikan atau menerima maklumat berkaitan sesuatu isu. Hal ini disebabkan internet lebih cepat dan pantas dalam memberi atau menerima maklumat. Media juga menjadi pencetus minda masyarakat kita ke arah lebih kreatif dan kritis.

    Media juga merupakan salah satu bentuk kemajuan teknologi dalam bidang informasi dan komunikasi. Kemajuam bidang informasi membawa kita memasuki abad revolusi komunikasi. Bahkan ada yang menyebutnya sebagai ‘ledakan komunikasi’. Pengaruh media massa berbeza-beza terhadap setiap individu. Hal ini disebabkan kerana adanya perbezaan di antara pola pemikiran, perbezaan sifat yang memberi impak kepada sikap, hubungan sosial setiap hari dan perbezaan budaya.

    ReplyDelete
  9. Hal ini menyebabkan terjadinya perubahan-perubahan sosial baik secara positif maupun negatif. Perkembangan teknologi membuat masyarakat terhimpit diantara dua pilihan. Di satu pihak masyarakat menerima kehadiran teknologi, di pihak lain pula kehadiran teknologi moden jesteru menimbulkan masalah-masalah yang bersifat struktural yang menambah di semua aspek kehidupan masyarakat. Salah satu diantaranya yang cukup membuat masyarakat kagum adalah perkembangan teknologi informasi.

    Daripada satu aspek, media sememangnya merupakan agen perubahan masyarakat yang penting melebihi suara–suara yang lain. Cohen, B. (1960) yang merupakan seorang tokoh komunikasi berpendapat bahawa meskipun media tidak memberi tahu apa yang harus kita fikirkan, namun ianya memengaruhi apa yang ada dalam fikirkan kita. Pesatnya perkembangan teknologi informasi dan komunikasi seperti media massa, menyebabkan terjadi perubahan secara cepat di mana-mana. Media sedikit demi sedikit membawa masyarakat ke suatu pola budaya baru dan mulai menentukan pola pemikiran serta budaya perilaku masyarakat. Tanpa disedari media telah ikut mengatur jadual hidup kita serta menciptakan sejumlah keperluan atau kehendak kita.

    Kesan positif media massa terhadap masyarakat ialah masyarakat akan memperolehi sesuatu berita dengan lebih pantas. Contohnya, berita-berita luar negara, walaupun berada di negara yang berbeza namun maklumat dan informasi dengan pantas melalui media massa. Hal ini akan menyebabkan masyarakat bersikap lebih peka terhadap isu-isu semasa. Selain itu melalui penggunaan internet dan telefon bimbit membolehkan masyarakat keluar dari kepompongnya. Hal ini kerana apabila adanya interaksi dua hala antara sesuatu masyarakat dengan masyarakat yang lain maka kita dapat melihat dari sudut pandangan berdasarkan kacamata kita sahaja.

    ReplyDelete
  10. Sebaliknya kita akan membuat penilaian mengenai masyarakat luar juga. Selain itu media amat mempengaruhi kesan kognitif media seperti pembentukkan sikap iaitu perkara yang berlaku dalam persekitaran yang berkaitan dengan ekonomi, politik, agama, keaamanan mahupun berita semasa. Apabila adanya penyertaan oleh masyarakat iaitu sambutan yang menggalakkan maka ianya menjustifikasikan bahawa khalayak mampu dipengaruhi oleh media massa.

    Media massa di zaman era globalisasi ini dengan adanya televisyen, radio, majalah, telefon bimbit yang canggih (smart phone) mengakibatkan berita yang tersebar semakin tidak berkualiti bahkan kadang- kadang berita yang belum dikenal pasti atau merupakan satu fitnah.

    Tidak dapat dinafikan lagi, sebagai contohnya, media massa merupakan penyumbang utama kepada keruntuhan moral di kalangan belia. Program-program televisyen khasnya, lebih mementingkan hiburan daripada maklumat. Tayangan-tayangan filem barat dan Hindustan contohnya, telah menolak unsur-unsur ketimuran yang sebati dalam jiwa masyarakat. Adegan adegan lucah hanyalah sebagai halwa mata bagi mereka. Jadi apabila filem tersebut dipertontonkan, sudah tentu golongan remaja amnya, akan meniru stail ataupun gaya dan aksi artis pujaan mereka. Secara tidak langsung, ianya mencetus kemelut jati diri bagi remaja yang sedang mencari identiti seterusnya terlibat dalam gejala hindunisme ini.

    Namun begitu, perlu disedari bahawa generasi muda mudah terdedah kepada ledakan maklumat daripada pelbagai sumber dan saluran yang pelbagai berkemungkinan memberi kesan negatif jika tidak berupaya dikawal dengan baik bahan media massa berbentuk hiburan yang paling diminati oleh remaja yang juga dikategorikan dalam kalangan pelajar. Di mana pengaruh hiburan kearah keseronokan lebih menjadi pilihan utama masyarakat berbanding slot agama dan wacana ilmu yang boleh menambah ilmu pengetahuan dan ini membuktikan media massa sangat mempengaruhi tingkah laku, akhlak dan kehidupan sosial mereka.

    ReplyDelete
  11. NUR KHAIRIAH KAHAR
    YA2015-1009

    Media memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat dalam pembangunan suatu bangsa dan negara. Oleh itu, mereka yang menguasai media memiliki kuasa begitu besar dan dengan matlamat yang besar sama ada membangun budaya rakyat atau menguasainya. Dengan kata lain media merupakan arena penyampaian berita di mana segala agenda dan rempah ratus kerajaan disusun dan diatur oleh kuasa media dan rakyat bertindak sekadar penikmat berita yang terpampang melalui media.

    Ketika media dikendalikan dengan berbagai kepentingan, beroperasinya agenda atau ideologi di sebalik media yang tidak dapat dipisahkan daripada mekanisme ketersembunyian dan ketidaksedaran yang merupakan syarat daripada keberhasilan sesebuah agenda. Maksudnya di sini ialah sesebuah agenda itu menyusup dan menanamkan pengaruhnya melalui wahana media secara tersembunyi iaitu tidak sedar dan secara halus. Ia dapat mengubah pandangan setiap orang secara tidak sedar.

    Kedudukan media sebagai institusi dengan keberagaman identiti, fungsi dan kebijakan dalam memisah-misahkan dirinya antara menjadi institusi perniagaan, industri maklumat dan institusi pendidikan akan dipersoalkan memandangkan besarnya hubungan masyarakat dengan media adalah penting bagi media memainkan peranan sebagai saluran pendidikan dan penyebaran ilmu pengetahuan.

    Misalnya, sekiranya diperhalusi secara mendalam, sekiranya memiliki wang yang banyak sekalipun, kita tidak akan dapat membeli sebuah bank atau aktiviti perniagaan tertentu misalnya kerana ia tertakluk di bawah undang-undang atau akta sesebuah negara itu. Itulah yang perlu dirombak dan untuk mengubah perkara ini gergasi-gergasi kapitalis akan berusaha membeli ahli politik penggubal dasar negara dan menjadikan media sebagai saluran untuk meraih sokongan.

    Melalui media juga, dunia telah disempitkan dengan idea globalisasi yang dibawa oleh pihak Barat sebagai peneraju untuk memudahkan usaha-usaha mereka mengawal dan mengatur sistem dunia ini. Kerana itulah pemikir-pemikir mereka seperti Thomas L.Friedman menulis buku-buku berkenaan globalisasi, konsep dunia sama rata, idea-idea liberal, demokrasi, pluralisme dan sebagainya untuk membesarkan empayar penguasaan ekonomi sekelompok manusia tadi. Idea-idea ini dapat dilihat dalam buku The Lexus and The Olive Tree, The World is Flat and Crowded.

    ReplyDelete
    Replies
    1. SOALAN KE 6: APA BOLEH JADI APABILA PENGUSAHA MEDIA BERGABUNG? CONTOH?

      Delete
  12. NUR KHAIRIAH KAHAR
    YA2015-1009

    Perkara ini dapat dilihat secara dekat melalui analogi seperti ini, iaitu sekumpulan gergasi korporat yang telah menguasai pentadbiran Amerika Syarikat yang mana merupakan barisan yang mengetuai negara-negara kuasa besar dunia. Dengan pengaruh kewangan, ketenteraan, media dan sebagainya, mereka mahu meluaskan kekuasaan ekonomi mereka ke seluruh dunia. Negara-negara yang ditadbir diktator yang menutup dasar tutup pintu dan tidak mesra perniagaan dengan mereka, mereka akan menggalakkan revolusi dengan membekalkan senjata api dan bom kepada para pemberontak untuk menumbangkan kerajaan sedia ada seperti Libya, Mesir atau Tunisia.

    Negara yang menutup pintu seperti Afghanistan akan dibom dan mereka akan mencipta pelbagai alasan melalui media mereka untuk menutup kekejaman mereka itu di mata masyarakat dunia. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada negara tersebut selepas dijatuhkan. Gergasi-gergasi korporat telah berlumba-lumba memasuki negara tersebut. Pawagam, rumah pelacuran, butik pakaian moden dan syarikat gergasi seperti coca-cola mula didirikan.

    Sementara itu, di negara-negara lain yang menjalinkan hubungan perniagaan dengan mereka, mereka menyuburkan amalan demokrasi melalui media yang ada. Demokrasi menjadikan rakyat berpecah belah dan kerajaan akan sentiasa berada dalam keadaan yang tidak stabil. Jika dilihat kepada yayasan dan pertubuhan-pertubuhan yang kononnya bebas, yang memperjuangkan dan mempromosikan masyarakat terbuka, demokrasi dan kebebasan media. Sekelompok orang inilah yang menyalurkan dana kewangan yang sangat banyak.

    Sekelompok manusia yang memiliki wang yang sangat banyak, seolah-olah mereka adalah mesin pencetak wang. Mereka dapat membeli apa sahaja entiti perniagaan, melabur di mana sahaja jika perdagangan telah bebas sepenuhnya. Lantas rakyat sesebuah negara itu, akan beralih tuan daripada kerajaan sedia ada kepada bertuankan sekelompok gergasi korporat tersebut tadi. Semua perusahaan, bank dan sebagainya di seluruh dunia akan bergerak ke arah penggabungan dan menjadi satu iaitu di bawah penguasaan oleh sekelompok manusia yang sangat kaya dan berpengaruh tadi. Mereka akan menguasai dunia ini dan menggubal undang-undang dunia untuk menjaga kepentingan mereka dan memperhamba seluruh manusia. Media pula hanya akan memaparkan “kebaikan” mereka dan menyembunyikan muslihat sebenar mereka.

    ReplyDelete
  13. NUR KHAIRIAH KAHAR
    YA2015-1009

    Tuntasnya, sekiranya semua pengusaha media bergabung dan membentuk satu kesatuan maka mereka mampu untuk memerintah dunia ini menurut acuan dan propaganda tersembunyi mereka. Hal ini demikian kerana mereka yang menguasai penyebaran maklumat dan menapis segala informasi yang akan dikeluarkan bagi melindungi kepentingan-kepentingan mereka. Sesiapa yang menguasai media akan menakluki maklumat dan sekiranya maklumat dapat dikuasai maka ianya akan memberikan kekuasaan. Pernyataan ini benar, tetapi apa yang kita fahami frasa “menguasai maklumat adalah dengan mengetahui maklumat”, walhal yang sebenarnya ialah penguasaan maklumat secara holistik adalah tujuan sebahagian daripada gergasi korporat bagi memerintah dunia ini mengikut ideologi yang mereka mahukan. Semuanya bermula dengan penguasaan media.

    ReplyDelete
  14. NURSIAH ROBERT
    YA2015-1011

    5) Media sebagai kuasa imperialis yang lebih hebat. Definisi dan contoh?


    Istilah Imperialisme diperkenalkan di Perancis pada tahun 1830-an, oleh imperium Napoleon Bonaparte. Imperialisme berasal dari kata imperator (memerintah) atau imperium (kerajaan besar dengan daerah jajahan yang amat luas). Oleh itu, Imperialisme merupakan suatu sistem penjajahan secara langsung dari suatu negara terhadap negara lainnya. Imperialisme tidak hanya tertumpu kepada perluasan kuasa melalui fizikal dan kawasan sahaja, tetapi ia juga dapat dilihat melalui saluran media massa tersebut. Teori imprialisme budaya mengatakan bahawa barat mendominasi media di seluruh dunia ini.Ini bermakna, media massa barat juga mendominasi media mass di dunia ketiga. Alasannya, media barat mempunyai efek yang kuat untuk mempengaruhi media dunia ketiga. Dunia ketiga disini bermaksud, negara yang belum membangun atau sedang membangun dari segi sosial dan ekonomi. Hal yang demikian mereka lebih cenderung meniru budaya yang muncul melalui penyebaran budaya tersebut.

    Akibat terpengaruh dengan budaya barat tersebut mengakibatkan budaya asal dunia ketiga tersebut mengalami kehancuran atau lupus, kerana masyarakat dunia ketiga adalah lebih cenderung mengikuti budaya barat yang disebarkan melalui media massa tersebut. Ia dapat dilihat dengan contoh, penggunaan sudu dan garpu, tali leher dan sbagainya. Pengaruh barat secara umumnya boleh didefinisikan sebagai gerakan pembaratan dan penjajahan fikiran yang dilancarkan kepada sesebuah negara atau di dunia ketiga yang mempunyai tujuan yang nyata iaitu menundukkan negara itu kepada kuasa imperialis dengan meleburkan nilai-nilai murni, memesongkan pengertian agama dan memusnahkan tunjang asas-asas penting yang menjadi amalan dam pembentukan keperibadian seseorang tersebut. Akibatnya, mereka akan kehilangan identity, dan mereka akan menghayati budaya dan cara hidup barat dalam kehidupannya.

    Dunia barat banyak mendominasi dunia ketiga disebabkan mereka mempunyai kemampuan dari segi kewangan yang mana mereka memproduksikan pelbagai bentuk yang diperlukan di dalam media massa, seperti contoh penghasilan filem, buku komik dan sebagainya. Dalam hal ini, media barat telah dikembangkan secara kapitalis yang mana ia berkembang dengan mementingkan keuntungan yang besar.

    Antara sebab lain ialah, mereka juga mempunyai teknologi yang canggih, yang mana mereka mampu menghasilkan produk media massa yang lebih baik dan kelihatan seperti nyata. Contohnya, filem Titanic yang mana kelihatan seperti kapal tersebut telah patah dan tenggelam akibat terlanggar gunung ais, ia telah memberi kesan yang nyata terhadap penonton. Namun disebaliknya ia hanyalah satu image yang diolah menggunakan computer dengan tekik Computer Generated Imagery (CGI). Ini membuktikan negara barat tersebut jauh lebih maju berbanding dengan dunia ketiga.
    Kesimpulannya, Imperialisme media merupakan satu penjajahan yang dijalankan secara langsung yang banyak mendominasi dunia ketiga.



    ReplyDelete

Revision Guide AK10303

1) Kedudukan media dalam sistem demokrasi? Contoh? 2) Evolusi media dari Estet Ke-4 ke Estet Ke-5. Contoh? 3) Media itu apa? Contoh? 4) B...